Saturday, February 14, 2009

kisah cinta seorang suami

Artikel cinta ini berdasarkan kisah yang benar.
Dilihat dari usia beliau sudah tidak muda lagi, usia yang sudah senja bahkan sudah mendekati malam. Masa Pak Suyatno, 58 tahun ke sehariannya diisi dengan merawat isterinya yang sakit. isterinya juga sudah tua. Mereka berkahwin sudah lebih 32 tahun.

Mereka dikurniakan 4 orang anak .......di sinilah awal cubaan menerpa, setelah isterinya melahirkan anak ke empat .........tiba-tiba kakinya lumpuh dan tidak boleh digerakkan. Hal itu terjadi selama dua tahun.

Menginjak tahun ke tiga seluruh tubuhnya menjadi lemah bahkan terasa tidak bertulang lidahnyapun sudah tidak mampu digerakkan lagi.

Setiap hari Pak Suyatno memandikan, membersihkan kotoran, menyuapkan, dan mengangkat isterinya ke atas tempat tidur.
Sebelum berangkat ke tempat kerja dia meletakkan isterinya di hadapan TV supaya isterinya tidak berasa kesunyian.

Walau isterinya tidak dapat bercakap, tapi dia selalu melihat isterinya tersenyum, dan Pak Suyatno masih berasa beruntung kerana tempat kerjanya tidak begitu jauh dari rumahnya, sehingga siang hari dia boleh pulang ke rumah untuk menyuapi isterinya makan. Petangnya dia pulang memandikan isterinya, mengganti pakaian, dan selepas maghrib dia temankan isterinya menonton tv sambil bercerita apa sahaja yang dia alami seharian.

Walaupun isterinya hanya mampu memandang (tidak mampu memberikan respons ), Pak Suyatno sudah cukup senang bahkan dia selalu menggoda dan bergurau dengan isterinya setiap kali menjelang tidur.

Rutin ini dilakukan Pak Suyatno lebih kurang 25 tahun. Dengan sabar dia merawat isterinya bahkan sambil membesarkan ke empat buah hati mereka, sekarang anak-anak mereka sudah dewasa tinggal si bungsu yang masih kuliah.

Pada suatu hari ke empat anak Suyatno berkumpul di rumah orang tua mereka sambil menjenguk ibunya. Kerana setelah menikah mereka tinggal dengan keluarga masing-masing.

Dan Pak Suyatno tetap merawat ibu kepada anak-anaknya, dan yang dia inginkan hanya satu: semua anaknya berjaya.

Dengan kalimat yang cukup hati-hati anak yang sulung berkata : "Pak kami ingin sekali merawat ibu ... Semenjak kami kecil kami melihat bapak merawat ibu dan tidak ada sedikit pun keluhan keluar dari bibir bapak, bahkan bapak tidak izinkan kami menjaga ibu.

"Dengan air mata berlinang anak itu melanjutkan kata-katanya .........

"Sudah yang kali keempat kami mengizinkan bapak menikah lagi, kami rasa ibupun akan mengizinkannya. Bila papak akan menikmati masa tua bapak dengan berkorban seperti ini .....kami sudah tidak sampai hati melihat bapak begini... kami berjanji akan merawat ibu dengan sebaik-baiknya secara bergantian," ujar anaknya yang sulung merayu.

Pak Suyatno menjawab hal yang sama sekali tidak diduga oleh anak-anaknya.

"Anak-anakku. .... jikalau hidup di dunia ini hanya untuk nafsu.... mungkin bapak akan berkahwin lagi.... tapi ketahuilah dengan adanya ibu kalian di sampingku... . itu sudah lebih dari cukup. Dia telah melahirkan kalian...
"Sejenak kerongkongannya tersekat..."Kalian yang selalu kurindukan hadir di dunia ini dengan penuh cintayang tidak dapat dinilai dengan apapun.Cuba kalian tanya ibumu apakah dia menginginkan keadaannya seperti Ini ?

Kalian menginginkan bapak bahagia .... Apakah batin bapak dapat bahagia meninggalkan ibumu dalam keadaannya seperti sekarang ?

Kalian menginginkan bapak yang masih diberi Allah kesihatan yang baik dirawat oleh orang lain .......bagaimana dengan ibumu yg masih sakit ?

Sejenak meledaklah tangis anak-anak pak Suyatno...Merekapun melihat butiran-butiran kecil jatuh di pelupuk mata ibunya... Dengan pilu ditatapnya mata suami yang sangat dicintainya itu...

Sampailah akhirnya Pak Suyatno diundang oleh salah satu stesen TV swasta untuk menjadi panel jemputan acara Bimbingan Rohani Selepas subuh dan juru acara pun mengajukan pertanyaan kepada pak suyatno...

Kenapa bapak mampu bertahan selama 25 tahun merawat Isteri yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa?

Ketika itu pak Suyatno pun menangis....tamu yang hadir di studio yang kebanyakan kaum ibu pun tidak mampu menahan haru...

Disitulah Pak Suyatno bercerita...Jika manusia didunia ini mengagungkan sebuah cinta tapi dia tidak mencintai kerana Allah maka semuanya akan luntur...

Saya memilih isteri saya menjadi pendamping hidup saya .......Sewaktu dia sihat diapun dengan sabar merawat saya... Mencintai saya dengan sepenuh hati zahir dan batinnya bukan dengan mata kepala semata-mata. .. dan dia memberi saya 4 orang anak yang lucu dan baik-baik...

Sekarang dia sakit berkorban untuk saya kerana Allah... Dan itu merupakan ujian bagi saya.

Sihat pun belum tentu saya mencari penggantinya. .. apalagi dia sakit ... Setiap malam saya bersujud dan menangis dan saya mengadu kepada Allah di atas sajadah supaya meringankan penderitaan isteri saya.

Dan saya yakin hanya kepada Allah tempat saya mengadukan rahsia dan segala kesukaran saya...kerana DIA maha Mendengar... .

Thursday, February 12, 2009

Mengawal Kelas

Seorang anak muda kehilangan ibu sejak kecil. Dia tinggal berdua dengan bapanya. Setiap hari sebelum keluar daripada rumah bapanya akan mengingatkannya supaya berhati-hati di jalanraya terutama sekali apabila hendak menyeberang jalan.

Peringatan ini diberikan pada setiap hari dan setiap kali pemuda ini hendak keluar rumah. Ia tidak pernah terhenti dari kecil hinggalah dia berjaya menjadi seorang doktor. Biarpun bapanya sudah tua dan anaknya sudah dewasa bapanya tetap dengan peringatan sedemikian.

Walaupun sedikit tidak senang dengan peringatan yang diberikan oleh bapanya, dia tidak berkata apa-apa kerana menghormati orang tua. Dalam hatinya dia merasakan dia sudah dewasa dan kini sudah menjadi seorang doktor. Dia sudah boleh menjaga dirinya sendiri. Dia tidak lagi perlu diingatkan seperti seorang anak kecil.

Suatu hari doktor ini dilanggar kereta semasa menyeberang jalan. Apa sebabnya? Bapanya jatuh sakit dan terlalu penat untuk bangun mengingatkan anaknya supaya berhati-hati semasa menyeberang jalan.

Bagi sesetengah orang, cerita begitu agak terlampau dalam menggambarkan peri pentingnya peringatan. Tetapi dalam kebanyakan peristiwa dalam hidup kita ia ada kaitan yang rapat. Kita seringkali tidak menghargai apa yang diperolehi dengan mudah. Kita hanya akan sedar setelah kehilanganya.

Kita sering kali tidak mengambil berat tentang peringatan dan pesanan yang diberikan kerana menganggapnya sebagai leteran yang membosankan. Kebanyakan kita tidak keberatan untuk menerima peringatan. Akan tetapi apabila peringatan itu diulangi berkali, kita menjadi bosan dan kurang senang. Kita menganggap itu sebagai leteran yang mengganggu fikiran kita. Malahan ada yang naik marah. Lalu peringatan seperti itu tidak lagi diendahkan.

Semasa saya menjalankan latihan mengajar di Sekolah Menengah Georgetown di Pulau Pinang, ada satu perkara menarik yang saya perhatikan. Pelajar di sekolah ini kebanyakannya nakal dan terkenal di Pulau Pinang. Kebanyakan guru pelatih di Pulau Pinang akan cuba merayu supaya tidak dihantar ke sekolah ini. Mereka tahu apa yang mereka pelajari di maktab atau universiti tidak akan dapat dipraktikkan di sini. Psikologi dan pedagogi tidak ada peluang untuk digunakan. Maka markah latihan mengajar mereka tidak akan tinggi.

Saya tidak dapat mengelak kerana saya diberikan kepercayaan sebagai guru pelatih yang boleh mengatasinya. Apabila berada di sana, memang benar apa yang saya dengar tentang sekolah ini sebelum ini. Pelajar-pelajarnya sukar di kawal. Tambahan pula ini merupakan sebuah sekolah laki-laki. Guru disiplinnya mengelilingi sekolah membawa rotan hampir sepenuh masa. Namun begitu pelajar-pelajar sekolah langsung tidak takut dengan guru disiplin mereka.

Hanya satu sahaja yang pelajar-pelajar takut. Mereka takutkan leteran guru wanita. Guru-guru wanita di sini kebanyakannya melebihi umur 40 tahun. Mereka mempunyai suara yang tinggi dan berupaya memarah dan meleter sehingga 2 jam lamanya. Ini sangat menarik kerana selama ini kita sering beranggapan bahawa guru lelaki lebih berjaya mengawal pelajarnya kerana mereka garang. Perkara yang sebaliknya berlaku di sini.

Setelah saya menjadi guru bertauliah, saya juga berhadapan dengan pelajar yang mempunyai perangai yang berbagai-bagai. Pada tahun pertama saya agak peramah kerana baru dan cuba mempraktikkan apa yang telah diajar oleh pensyarah saya dahulu. Namun pelajar saya mengambil kesempatan. Mereka tidak membawa buku latihan, tidak menyiapkan latihan dan kerja rumah, lewat memasuki kelas atau tidak datang ke sekolah tanpa sebarang alasan.

Berbekalkan pengalaman tahun pertama saya mulai bersikap tegas pada tahun berikutnya. Saya kenakan denda kepada pelajar yang malas, lalai dan sengaja tidak datang ke kelas. Malahan apabila masuk ke tahun ketiga saya telah menyimpan misai supaya nampak garang. (Ada pelajar perempuan menganggap saya kelihatan lebih tampan!).

Sesungguhnya masih ramai bekas pelajar saya yang mengatakan saya seorang guru yang garang. Namun mereka mengakui saya bukanlah guru yang tunjuk garang sembarangan. Mereka tahu saya tegas dan mereka takut dimarahi saya. Malah ramai yang bersyukur dididik oleh saya dengan cara demikian.

Saya tidak bertolak ansur dengan alasan remeh temeh. Malahan saya tidak membenarkan pelajar saya mengambil peperiksaan selain daripada masa yang ditetapkan Kertas soalan tetap diberikan kepada mereka tetapi tidak ada markah yang akan dihitung ke dalam buku rekod pelajar. Saya juga tidak memberikan markah kasihan biarpun setengah markah untuk meluluskan pelajar dalam mata pelajaran yang saya ajar.

Untuk itu saya selalu dirayu oleh pelajar malah ibu bapa mereka. Jawapan saya cukup mudah. Saya mengajar pelajar kelas peperiksaan iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dalam peperiksaan rasmi seperti PMR tidak ada markah kasihan dan tidak ada peluang untuk pelajar menduduki peperiksaan lewat daripada masa yang ditetapkan. Jika anak mereka tidak dididik mulai sekarang mereka tidak akan mempunyai konsep yang betul tentang ketepatan masa dan tanggungjawab diri. Biarpun sedih, mereka terpaksa akur dengan penjelasan saya. Saya tahu saya kurang popular kerana itu tetapi mendapat populariti seperti itu bukanlah perkara yang boleh dibanggakan.

Ketegasan (bukannya kegarangan) saya membantu saya mengawal kelas. Saya tidak mempunyai masalah untuk memastikan pelajar saya menumpukan perhatian. Cara saya mudah sahaja. Saya akan pastikan saya berdiri di tempat yang membolehkan semua pelajar melihat dan mendengar saya dan saya sendiri dapat melihat mereka. Mata saya sentiasa melihat setiap gerak geri pelajar saya. Saya jarang duduk semasa mengajar.

Saya juga jarang membaca daripada buku teks. Saya menceritakan semula kandungannya dalam perkataan saya sendiri agar lebih mudah difahami. Ini membolehkan saya sentiasa bertentangan masa dengan pelajar saya dan tidak ada peluang untuk mereka mengkhayal atau melakukan kerja lain yang tidak berkaitan.

Selama sekian lama menjadi guru saya juga dapat membaca air muka pelajar saya dengan agak tepat. Pelajar yang sakit, bermasalah atau bersalah kerana tidak menghabiskan kerja rumah atau melakukan sesuatu di belakang saya semasa saya menulis di papan hitam (hijau) mudah sahaja untuk saya kesan. Ada juga pelajar yang belum mengenali saya pernah mencuba untuk berjenaka di belakang saya tetapi mereka dapat saya tangkap dengan mudah.

Suara saya cukup kuat dan lantang. Saya akan pastikan setiap pelajar dalam kelas dapat mendengar suara saya. Suara yang kuat, tetapi tidak dengan cara menjerit akan dapat membantu dalam pengawalan kelas. Ini samalah keadaannya seseorang penceramah mengawal perhatian penonton dan pendengarnya dalam dewan.

Kelebihan ketegasan dan kawalan kelas ialah kita dapat menumpukan lebih banyak masa kita untuk mengajar daripada meleter atau memarahi pelajar. Guru-guru yang telah lama mengajar mempunyai reputasinya yang tersendiri. Gaya mereka akan dimaklumkan oleh pelajar senior kepada pelajar junior.

Akan tetapi ada masanya saya juga menggunakan 2 waktu untuk menasihati pelajar saya. Anggaplah itu sebagai peringatan dan pengajaran. Apabila keadaan memerlukan saya berbuat demikian, saya akan lakukan.

Saya biasanya mengaitkan salah saku mereka dengan kesusahan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Saya kaitkan dengan contoh-contoh yang mereka tahu dan memaparkan akibatnya kepada pelajar saya. Pengalaman saya menjadi juruacara dan berlakon dalam drama membolehkan saya menggunakan intonasi suara yang berbagai-bagai untuk memberikan kesan terbaik dengan kata-kata saya. Itulah juga sebabnya setiap kali saya mulai memberikan nasihat, ada sahaja pelajar yang menangis atau sekurang-kurangnya mengalirkan air mata. Ia bukan setakat dalam kelas tetapi juga berlaku semasa perhimpunan semasa saya diminta memberikan nasihat sebagai guru disiplin.

Sebagai seorang guru kita harus sentiasa memperingatkan pelajar kita, sama seperti mengingatkan anak-anak kita sendiri. Akan tetapi peringatan, nasihat atau pesanan itu harus diberikan dengan cara yang betul supaya ia membosankan dan dianggap sebagai leteran. Nasihat itu janganlah terlalu berbentuk kemarahan. Cubalah gunakan contoh-contoh benar yang berlaku di sekeliling kita. Kesannya jauh lebih baik daripada menggunakan orang-orang ternama yang kita baca daripada buku.

Pesanan, peringatan dan nasihat yang berlebihan dan salah saluran akan menjadi leteran yang membosankan.

Ketua Kelas Perlu Tegas Tapi Lembut

Oleh Noor Azlina Zainudin Berita Harian - 26/03/02
Selain pengawas, ketua kelas juga memainkan peranan penting dalam usaha memastikan murid mematuhi disiplin dan peraturan yang ditetapkan, terutama ketika berada di dalam kelas dan kawasan sekolah.

Ketua kelas lazimnya dilantik oleh guru dan rakan sekelas berdasarkan kemampuannya memikul tanggungjawab untuk mengawal murid lain dalam sesebuah kelas agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan sempurna.

Antara tugas dan peranan ketua kelas ialah mengetuai murid ketika menjalankan sebarang aktiviti dalam kelas, mengawal disiplin murid ketika ketiadaan guru, menyelia kebersihan serta keceriaan kelas serta membantu guru mengedar dan memungut buku latihan.

Sungguhpun demikian, ramai murid yang masih belum jelas dengan peranan sebenar ketua kelas. Malah, ada yang enggan mematuhi arahan yang diberikan oleh ketua kelas dengan alasan sebaya dan berada dalam kelas yang sama.

Tanggapan itu perlu dikikis kerana ketua kelas membuat teguran dan mengeluarkan arahan yang diamanahkan oleh guru bagi memastikan peraturan sekolah dipatuhi sepenuhnya.

Bagaimanapun, ketua kelas perlu membuat teguran secara lembut tetapi tegas dan tidak menggunakan perkataan yang boleh menyakitkan hati atau menyinggung perasaan murid lain.

Andai kata ada murid yang enggan mematuhi arahan, ketua kelas perlu melaporkannya kepada guru supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh murid semasa ketiadaan guru di dalam kelas ialah membuat bising, keluar kelas sesuka hati, menconteng papan hitam, membuang sampah merata-rata dan bermain sesama sendiri.

Oleh itu, mengawal kelas dan memastikan murid lain tidak melakukan pelbagai kesalahan adalah antara peranan atau tanggungjawab yang perlu dijalankan oleh ketua kelas.

Selain itu, ketua kelas juga perlu memastikan murid menjalankan tugas membersih dan menjaga kebersihan kelas setiap hari bukan sahaja sebelum kelas bermula, malah sepanjang waktu persekolahan.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, Encik Ahmad Fuad Said, berkata lazimnya ketua kelas dilantik secara undian di dalam kelas.

Katanya, murid dalam sesebuah kelas dipertanggungjawabkan memilih ketua masing-masing dan bukannya guru. Ini kerana selalunya murid sesebuah kelas itu lebih tahu siapa di kalangan mereka yang jujur dan boleh menjalankan tugas dengan baik.

“Saya memberi tempoh percubaan selama dua minggu selepas proses pengundian itu untuk memastikan murid yang dilantik sebagai ketua kelas benar-benar berwibawa dan mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna.

“Jika tidak, proses pengundian perlu dijalankan semula untuk memilih murid lain yang lebih layak,” katanya.

Encik Ahmad Fuad berkata, ketua kelas yang dipilih perlu memiliki tahap disiplin yang tinggi dan sedia menerima tugas yang diamanahkan kepadanya.

Sementara itu, Ketua Kelas Tahun Lima Amanah, SK Jalan Gurney (2), Noor Hamizah Ahmad, berpendapat ketua kelas perlu bersikap tegas, agak garang dan berdisiplin sesuai dengan tugas mereka sebagai pembantu guru.

“Tugas sebagai ketua kelas amat menyeronokkan kerana saya dapat menjadi ketua kepada murid lain yang sebaya dan memberi arahan kepada mereka untuk melaksanakan sesuatu tugasan yang diamanahkan oleh guru.

“Bagaimanapun, ada juga murid yang suka melawan dan tidak mahu mendengar arahan yang saya berikan.

Dalam kes begini, saya akan menulis nama murid terbabit dan kesalahan yang dilakukan. Setelah itu saya laporkan kepada guru kelas, Puan Arni Ahmad,” katanya.