Thursday, February 12, 2009

Mengawal Kelas

Seorang anak muda kehilangan ibu sejak kecil. Dia tinggal berdua dengan bapanya. Setiap hari sebelum keluar daripada rumah bapanya akan mengingatkannya supaya berhati-hati di jalanraya terutama sekali apabila hendak menyeberang jalan.

Peringatan ini diberikan pada setiap hari dan setiap kali pemuda ini hendak keluar rumah. Ia tidak pernah terhenti dari kecil hinggalah dia berjaya menjadi seorang doktor. Biarpun bapanya sudah tua dan anaknya sudah dewasa bapanya tetap dengan peringatan sedemikian.

Walaupun sedikit tidak senang dengan peringatan yang diberikan oleh bapanya, dia tidak berkata apa-apa kerana menghormati orang tua. Dalam hatinya dia merasakan dia sudah dewasa dan kini sudah menjadi seorang doktor. Dia sudah boleh menjaga dirinya sendiri. Dia tidak lagi perlu diingatkan seperti seorang anak kecil.

Suatu hari doktor ini dilanggar kereta semasa menyeberang jalan. Apa sebabnya? Bapanya jatuh sakit dan terlalu penat untuk bangun mengingatkan anaknya supaya berhati-hati semasa menyeberang jalan.

Bagi sesetengah orang, cerita begitu agak terlampau dalam menggambarkan peri pentingnya peringatan. Tetapi dalam kebanyakan peristiwa dalam hidup kita ia ada kaitan yang rapat. Kita seringkali tidak menghargai apa yang diperolehi dengan mudah. Kita hanya akan sedar setelah kehilanganya.

Kita sering kali tidak mengambil berat tentang peringatan dan pesanan yang diberikan kerana menganggapnya sebagai leteran yang membosankan. Kebanyakan kita tidak keberatan untuk menerima peringatan. Akan tetapi apabila peringatan itu diulangi berkali, kita menjadi bosan dan kurang senang. Kita menganggap itu sebagai leteran yang mengganggu fikiran kita. Malahan ada yang naik marah. Lalu peringatan seperti itu tidak lagi diendahkan.

Semasa saya menjalankan latihan mengajar di Sekolah Menengah Georgetown di Pulau Pinang, ada satu perkara menarik yang saya perhatikan. Pelajar di sekolah ini kebanyakannya nakal dan terkenal di Pulau Pinang. Kebanyakan guru pelatih di Pulau Pinang akan cuba merayu supaya tidak dihantar ke sekolah ini. Mereka tahu apa yang mereka pelajari di maktab atau universiti tidak akan dapat dipraktikkan di sini. Psikologi dan pedagogi tidak ada peluang untuk digunakan. Maka markah latihan mengajar mereka tidak akan tinggi.

Saya tidak dapat mengelak kerana saya diberikan kepercayaan sebagai guru pelatih yang boleh mengatasinya. Apabila berada di sana, memang benar apa yang saya dengar tentang sekolah ini sebelum ini. Pelajar-pelajarnya sukar di kawal. Tambahan pula ini merupakan sebuah sekolah laki-laki. Guru disiplinnya mengelilingi sekolah membawa rotan hampir sepenuh masa. Namun begitu pelajar-pelajar sekolah langsung tidak takut dengan guru disiplin mereka.

Hanya satu sahaja yang pelajar-pelajar takut. Mereka takutkan leteran guru wanita. Guru-guru wanita di sini kebanyakannya melebihi umur 40 tahun. Mereka mempunyai suara yang tinggi dan berupaya memarah dan meleter sehingga 2 jam lamanya. Ini sangat menarik kerana selama ini kita sering beranggapan bahawa guru lelaki lebih berjaya mengawal pelajarnya kerana mereka garang. Perkara yang sebaliknya berlaku di sini.

Setelah saya menjadi guru bertauliah, saya juga berhadapan dengan pelajar yang mempunyai perangai yang berbagai-bagai. Pada tahun pertama saya agak peramah kerana baru dan cuba mempraktikkan apa yang telah diajar oleh pensyarah saya dahulu. Namun pelajar saya mengambil kesempatan. Mereka tidak membawa buku latihan, tidak menyiapkan latihan dan kerja rumah, lewat memasuki kelas atau tidak datang ke sekolah tanpa sebarang alasan.

Berbekalkan pengalaman tahun pertama saya mulai bersikap tegas pada tahun berikutnya. Saya kenakan denda kepada pelajar yang malas, lalai dan sengaja tidak datang ke kelas. Malahan apabila masuk ke tahun ketiga saya telah menyimpan misai supaya nampak garang. (Ada pelajar perempuan menganggap saya kelihatan lebih tampan!).

Sesungguhnya masih ramai bekas pelajar saya yang mengatakan saya seorang guru yang garang. Namun mereka mengakui saya bukanlah guru yang tunjuk garang sembarangan. Mereka tahu saya tegas dan mereka takut dimarahi saya. Malah ramai yang bersyukur dididik oleh saya dengan cara demikian.

Saya tidak bertolak ansur dengan alasan remeh temeh. Malahan saya tidak membenarkan pelajar saya mengambil peperiksaan selain daripada masa yang ditetapkan Kertas soalan tetap diberikan kepada mereka tetapi tidak ada markah yang akan dihitung ke dalam buku rekod pelajar. Saya juga tidak memberikan markah kasihan biarpun setengah markah untuk meluluskan pelajar dalam mata pelajaran yang saya ajar.

Untuk itu saya selalu dirayu oleh pelajar malah ibu bapa mereka. Jawapan saya cukup mudah. Saya mengajar pelajar kelas peperiksaan iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dalam peperiksaan rasmi seperti PMR tidak ada markah kasihan dan tidak ada peluang untuk pelajar menduduki peperiksaan lewat daripada masa yang ditetapkan. Jika anak mereka tidak dididik mulai sekarang mereka tidak akan mempunyai konsep yang betul tentang ketepatan masa dan tanggungjawab diri. Biarpun sedih, mereka terpaksa akur dengan penjelasan saya. Saya tahu saya kurang popular kerana itu tetapi mendapat populariti seperti itu bukanlah perkara yang boleh dibanggakan.

Ketegasan (bukannya kegarangan) saya membantu saya mengawal kelas. Saya tidak mempunyai masalah untuk memastikan pelajar saya menumpukan perhatian. Cara saya mudah sahaja. Saya akan pastikan saya berdiri di tempat yang membolehkan semua pelajar melihat dan mendengar saya dan saya sendiri dapat melihat mereka. Mata saya sentiasa melihat setiap gerak geri pelajar saya. Saya jarang duduk semasa mengajar.

Saya juga jarang membaca daripada buku teks. Saya menceritakan semula kandungannya dalam perkataan saya sendiri agar lebih mudah difahami. Ini membolehkan saya sentiasa bertentangan masa dengan pelajar saya dan tidak ada peluang untuk mereka mengkhayal atau melakukan kerja lain yang tidak berkaitan.

Selama sekian lama menjadi guru saya juga dapat membaca air muka pelajar saya dengan agak tepat. Pelajar yang sakit, bermasalah atau bersalah kerana tidak menghabiskan kerja rumah atau melakukan sesuatu di belakang saya semasa saya menulis di papan hitam (hijau) mudah sahaja untuk saya kesan. Ada juga pelajar yang belum mengenali saya pernah mencuba untuk berjenaka di belakang saya tetapi mereka dapat saya tangkap dengan mudah.

Suara saya cukup kuat dan lantang. Saya akan pastikan setiap pelajar dalam kelas dapat mendengar suara saya. Suara yang kuat, tetapi tidak dengan cara menjerit akan dapat membantu dalam pengawalan kelas. Ini samalah keadaannya seseorang penceramah mengawal perhatian penonton dan pendengarnya dalam dewan.

Kelebihan ketegasan dan kawalan kelas ialah kita dapat menumpukan lebih banyak masa kita untuk mengajar daripada meleter atau memarahi pelajar. Guru-guru yang telah lama mengajar mempunyai reputasinya yang tersendiri. Gaya mereka akan dimaklumkan oleh pelajar senior kepada pelajar junior.

Akan tetapi ada masanya saya juga menggunakan 2 waktu untuk menasihati pelajar saya. Anggaplah itu sebagai peringatan dan pengajaran. Apabila keadaan memerlukan saya berbuat demikian, saya akan lakukan.

Saya biasanya mengaitkan salah saku mereka dengan kesusahan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Saya kaitkan dengan contoh-contoh yang mereka tahu dan memaparkan akibatnya kepada pelajar saya. Pengalaman saya menjadi juruacara dan berlakon dalam drama membolehkan saya menggunakan intonasi suara yang berbagai-bagai untuk memberikan kesan terbaik dengan kata-kata saya. Itulah juga sebabnya setiap kali saya mulai memberikan nasihat, ada sahaja pelajar yang menangis atau sekurang-kurangnya mengalirkan air mata. Ia bukan setakat dalam kelas tetapi juga berlaku semasa perhimpunan semasa saya diminta memberikan nasihat sebagai guru disiplin.

Sebagai seorang guru kita harus sentiasa memperingatkan pelajar kita, sama seperti mengingatkan anak-anak kita sendiri. Akan tetapi peringatan, nasihat atau pesanan itu harus diberikan dengan cara yang betul supaya ia membosankan dan dianggap sebagai leteran. Nasihat itu janganlah terlalu berbentuk kemarahan. Cubalah gunakan contoh-contoh benar yang berlaku di sekeliling kita. Kesannya jauh lebih baik daripada menggunakan orang-orang ternama yang kita baca daripada buku.

Pesanan, peringatan dan nasihat yang berlebihan dan salah saluran akan menjadi leteran yang membosankan.

2 comments:

sinjay school said...

Setuju, and pertamax

Anonymous said...

betul tu.